Monday, January 21, 2013

JANGAN GANGGU JANDAKU! bab 3


Bab 3
BEBERAPA HARI BERLALU.....

Tengahari itu cikgu zana masuk ke kelas Battuta. Dia sudah berjanji dengan pelajar ciliknya untuk mengadakan sesi bercerita. Semalam dia sudah meminta kanak-kanak kecil itu memikirkan apa yang akan diceritakan pada hari ini. Tajuknya adalah, Ayahku...Heroku! sempena hari bapa pada hari ini.
Semalam, kelihatannya mereka sangat teruja untuk bercerita perihal ayah masing-masing. Hanya seorang saja yang berdiam diri. Biasalah, Asyraf Firdaus memang sentiasa diam di kala teman-temannya yang lain sibuk bercerita. Ada sesuatu yang pelik pada pelajarnya itu. Dan dia ingin sekali tahu apa yang ada dalam kepala kanak-kanak itu, hari ini.
“Semua bangun.” Suara lantang Amar Haziq menyebabkan rakan-rakan sekelasnya bingkas bangun, dan berdiri tegak. “Assalamualaikum cikgu!”ujarnya, lantang.
“Assalamualaikum cikgu.” Balas yang lain, berlagu.
“Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Duduk semua.” Cikgu Zana tersenyum. Memerhati saja pelajarnya duduk kembali di tempat duduk masing-masing. Sekilas dia memandang pada tempat duduk di belakang sebelah kanannya. Asyraf Firdaus tunduk saja.
“Baiklah anak-anak yang bijak pandai...hari ini cikgu Zana nak dengar kamu bercerita. Seperti yang cikgu Zana cakap semalam, cikgu Zana nak dengar pasal ayah kamu. Tajuk cerita kita ialah, Ayahku...Heroku.”
Bising seketika. Masing-masing sibuk bercakap sesama sendiri.
“Okeylah, kita mulakan dengan Irfan dulu. Bangun Irfan.” Cikgu Zana menunjukkan pada Irfan yang duduk dibarisan hadapan sekali. Tersengih Irfan bangun sambil membetulkan kemeja biru berpetak yang dipakainya.
“Ayah saya bernama Ahmad Firdaus. Saya panggil ayah saya papa. Papa kerja dekat tengah laut, naik kapal minyak yang besar. Papa jarang ada kat rumah sebab travel all around the world! Tapi jika papa balik, papa akan spend time dengan saya kat rumah dan bawa kami jalan-jalan. Erm...” terhenti seketika penceritaannya, mungkin tak tahu apa lagi yang hendak diceritakan.
“Biasanya papa bawak Irfan ke mana?” cikgu Zana buat muka teruja. Salah satu cara untuk membuatkan pelajar kecil itu bercerita, ialah menunjukkan minat kita mendengar apa yang akan mereka ceritakan.
“Selalunya papa bawa kami jalan-jalan kat taman. Kami main basikal dan main bola sama-sama.Hari tu kitorang pergi Sunway Lagoon tau cikgu. Best sangat!”
Seisi kelas gamat sekejap. Masing-masing sibuk bercakap tentang Sunway Lagoon pula. Ada yang dah pernah pergi, dan sibuk menyebut best, best!
“Okay...jika papa kamu ada di sini sekarang, apa yang Irfan nak ucapkan pada papa Irfan?”
“Ermm...” diam sejenak, dan berfikir. “Papa..Fan sayangkan papa! Nanti kalau Fan dah besar, Fan nak kerja dan cari duit banyak-banyak. Fan taknak papa kerja kuat-kuat lagi. Fan nak Papa ada je dengan Fan.”
“Okey, bagus.” Cikgu Zana mengangguk. “Afrina Suraya? Giliran Rina pula sekarang, bangun dan ceritakan pasal ayah Rina.”
Gadis kecil bertudung biru itu bangun, malu-malu. “Daddy nama Muhammad Zaid. Daddy sangat hensem dan cool. Daddy doktor. Dia kerja tak tentu masa. Kata daddy, daddy kena tolong orang sakit dan memerlukan daddy merawat mereka. Mummy selalu bagitahu, daddy adalah ayah terbaik di dunia ini. Sebab daddy selalu ada dan menjaga kami kalau kami sakit. Daddy pandai masak juga. Daddy selalu masak untuk kami kalau mummy sibuk bekerja. Daddy tolong saya buat homework. Main warna-warna dan main masak-masak juga.”
Masing-masing ketawa. “daddy awak main masak-masak dengan awak, Rina?” tegur Zakri Haikal yang agak nakal itu.
Afrina Suraya mengangguk pantas. Tak langsung berasa malu. “Iyalah! Daddy saya pandai masak tau! Even he is a doctor, but he always spend time to playing with me. Even. He. Is. A. Doctor. Okey!” satu persatu perkataan he is a doctor itu diucapkan. Mungkin sengaja ditekankan agar rakan-rakan yang lain tahu bahawa ayahnya seorang doktor. Bangga sekali riak wajahnya. Tak padan dengan tadi malu-malu.
“I love my daddy! No matter what.” Dan gadis kecil bernama Afrina Suraya itu duduk sambil menjeling tajam pada Zakri Haikal yang masih tersengih-sengih.
“Zakri Haikal! Now your turn. Please stand up.” Cikgu Zana senyum.
“Hi everybody.” Amboi, siap berhai-hai lagi tu! “My name is Zakri Haikal bin Ahmad Farid. So as you all know, my dad’s name is Ahmad Farid. He is a successfull enterpreneur. He has a big company. He also has a lot of money and often buy whatever toys that i want. We often on an overseas holidays as UK, London, Australia, NY, and more. For me my dad is my hero because he is great! I love you so much Dad!”
Wah, hampir-hampir semua orang terlopong mendengar cerita si Zakri Haikal itu. Anak bisnesman, mestilah hebat kalau bercakap. Bisik hati kecil cikgu Zana.
Seorang demi seorang bangun dan bercerita perihal ayah masing-masing. Ada yang memberitahu ayah mereka bekerja sebagai peguam, arkitek, jurutera, pensyarah, dan ada juga bekerja sebagai DJ radio. Huhuhu...rupa-rupanya si Naira Mikayla tu adalah anak Nabil Raja Lawak yang bekerja sebagai DJ radio Era. Anak selebriti tu! Tapi tak pernah pula terserempak dengan Nabil sebelum ini. Mungkin isterinya saja kot yang datang sewaktu mesyuarat PIBG. Tentunya selebriti seperti Nabil tu sibuk. Lagipun, kalaulah dia datang, tentu tak jadi mesyuarat kot. Jadi press conference pulak! Adui, berkhayal pulak si Cikgu Zana ni.
Tapi dalam hati dia dah berkira-kira nak berbaik dengan Naira. Manalah tahu boleh dapat tandatangan atau bergambar dengan Nabil. Huhuhu...gedik betul cikgu Zana!
“Okeylah...sekarang tiba giliran Asyraf Firdaus pula. Bangun Asyraf dan ceritakan tentang ayah kamu.” Tutur cikgu Zana penuh minat menatap wajah si Asyraf yang duduk berteleku di mejanya. Sedih saja muka budak itu.
Dan sewaktu Asyraf bangun dari kerusinya, semua mata di dalam kelas itu sudah tertumpu padanya. Mata Asyraf berkaca-kaca. Dan dia menunduk kemudiannya. Agak lama juga sehinggalah dia bersuara perlahan.
“until now, i never found my father. And i never know who my father was. I’m sorry!”
Cikgu zana dapat merasakan jantungnya berhenti berdegup. Ayah Asyraf dah tiada ke? Berdosa pulak rasanya kerana telah membuatkan hati si kecil itu bersedih. Sepatutnya dia selidik dulu sebelum bertanya dan mengutarakan cadangan untuk sesi bercerita seperti ini. Dia benar-benar terlupa dan selebihnya tidak menjangka akan mengetahui satu cerita sedih ini. Dan tambah berdosa, dialah yang telah menyebabkan Asyraf Firdaus bersedih! Patutlah tiada riak ceria di wajah si kecil itu.
“Eh, kau tak ada ayah Asy?” Zakri bangun. Kemudian dia mengerutkan dahi, pelik benar lagaknya. “Eh, entah-entah kau ni anak luar nikah tak?”
Cikgu Zana bulat mata. Anak luar nikah? Apa yang budak seusia 5 tahun ini tahu tentang anak luar nikah? Ya Allah...dia benar-benar terperanjat bila mendengar sebaris ayat itu terkeluar dari mulut comel Zakri Haikal. Memang Zakri terkenal dengan sifat serba tahunya. Dia adalah pelajar yang paling banyak mulut. Tapi cikgu Zana tidak menyangka, Zakri akan berkata begitu.
Dan dia masih belum dapat mencerna kenapa Zakri boleh berkata begitu pada Asyraf apabila dia mendengar bunyi riuh rendah di belakang kelas. Pelajar kecilnya sudah bertempik apabila Asyraf telah menumbuk dan menarik baju Zakri. Zakri juga tidak beralah, dan terus meninju dagu Asyraf.
Cikgu Zana bertempik dan meredah kanak-kanak kecil yang berkumpul, menyekat laluannya untuk ke belakang kelas. Dia terkejut dan bingung dan sempat menarik baju Zakri agar berhenti bertumbuk. Namun, terlambat bila dia melihat bibir sebelah kanan Zakri sudah berdarah! Lengan bajunya juga sudah koyak.

No comments:

Post a Comment